Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR 19 Feb. – Kerajaan meluluskan pelaburan bernilai RM125.3 bilion dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan pada tahun lalu, sekali gus melepasi sasaran Pelan Induk Perindustrian Ketiga (IMP3) sebanyak RM73.4 bilion.
Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz berkata, kepesatan pertumbuhan dalam sektor perkilangan adalah punca kepada pertambahan pelaburan tersebut kepada RM59.9 bilion berbanding RM27.5 yang disasarkan dalam IMP3.
“Kepesatan sektor perkilangan adalah disebabkan oleh projek-projek yang berintensifkan modal dalam industri elektronik, produk petroleum termasuk petrokimia, produk logam asas dan kertas serta sektor percetakan dan penerbitan.
“Terdapat 11 projek dengan pelaburan melebihi RM1 bilion. Pelaburan dalam projek-projek ini berjumlah RM29.9 bilion iaitu mewakili 49.9 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan,” katanya pada sidang media tahunan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) mengenai Prestasi Sektor Perkilangan dan Perkhidmatan Tahun 2007 di sini, hari ini.
Hadir pada majlis itu, Pengerusi MIDA, Tan Sri Zainal Abidin Sulong dan Pengarah Urusan MIDA, R.Karunakaran.
Katanya, pelaburan asing sebanyak RM33.4 bilion dalam sektor perkilangan merupakan yang tertinggi pernah dicatatkan sehingga kini.
“Jumlah pelaburan ini menunjukkan kenaikan pelaburan asing untuk empat tahun berturut-turut berbanding RM20.2 bilion pada tahun 2006, tahun 2005 (sebanyak RM17.9 bilion dan tahun 2004 berjumlah RM15.6 bilion,” jelasnya.
Jelasnya, pelaburan domestik pada tahun lalu turut mencatatkan rekod tertinggi sebanyak RM26.5 bilion berbanding RM25.8 bilion pada tahun 2006, tahun 2005 (RM13.2 bilion) dan RM15.6 bilion pada tahun 2004.
“Pelaburan asing dan domestik ini memberi tindak balas positif terhadap inisiatif kerajaan dalam menggalakkan pelaburan dalam projek-projek berintensif modal, nilai tambah yang tinggi dan yang berteknologi tinggi.
“Nisbah Pelaburan Modal Ke Atas Pekerja (CIPE) turut meningkat daripada RM517,054 pada tahun 2006 kepada RM613,600 tahun lalu,” tegasnya.’
Dalam sektor perkhidmatan pula, menurut Rafidah, sektor hartanah merupakan penyumbang utama dengan menarik pelaburan berjumlah RM21.6 bilion pada tahun lalu diikuti sektor pengangkutan sebanyak RM16.7 bilion.
Pelaburan domestik yang diterima untuk sektor itu ialah sebanyak RM54.6 bilion manakala pelaburan asing berjumlah RM10.8 bilion, meliputi sektor pengangkutan (RM4.5 bilion), perdagangan pengedaran (RM1.95 bilion), hartanah (RM1.7 bilion) dan syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) sebanyak RM1.3 bilion.
Mengenai guna tenaga katanya, sektor perkilangan menyumbang sebanyak 29.3 peratus guna tenaga pada tahun 2007 manakala sektor perkhidmatan sebanyak 51.4 peratus.“Kesemua projek pelaburan yang diluluskan ini mewujudkan 147,443 peluang pekerjaan pada tahun 2007,” katanya.
(event yg aku ikut reporter cover semalam kuar kt utusan ari ni,20/2/08)..(“,)
Asbestos!!!